Friday, August 14, 2009

Ramadhan akan kembali lagi...


Ramadan (b. Arab: رمضان, transliterasi: Ramaḍān, terjemahan harfiah: "panas terik") (biasa digelar "Ramadan Al-Mubarak") adalah merupakan bulan yang ke-9 dan bulan paling suci di dalam kalendar Islam. Seperti bulan Islam lain, bulan ini mempunyai 29 atau 30 hari. Pada bulan ini umat Islam ini diwajibkan berpuasa seperti yang termaktub dalam al-Qur'an yang bermaksud:

Bulan Ramadan, yang di dalamnya diturunkan al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah). Oleh itu, barangsiapa di antara kamu hadir di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu...

surah Al-Baqarah, ayat 185

Bulan Ramadan merupakan masa untuk umat Islam berfikir dan merenung diri sendiri, bersolat, membuat kebajikan dan meluangkan masa dengan keluarga serta sahabat handai. Diharapkan dengan berpuasa dari fajar hingga senja umat Islam akan dapat mempertingkatkan disiplin diri dan menjadi pemurah, dengan mengingati kesusahan hidup sebahagian manusia yang miskin papa.


AMALAN SEWAKTU RAMADHAN

Umat Islam digalakkan membanyakkan ibadah pada bulan Ramadan kerana ganjarannya digandakan pada bulan ini.

Puasa Ramadhan


Selama sebulan Ramadan, umat Islam akan berpuasa setiap hari, dari terbit fajar (subuh) sehinggalah terbenamnya matahari (maghrib). Selama berpuasa, mereka harus menahan diri dari makan, minum dan perkara-perkara lain yang membatalkan puasa sehingga tiba waktu berbuka. Syariat ini diturunkan pada 10 Syaaban tahun ke-2 Hijrah dan sejak itu, masyarakat Islam menyambut bulan Ramadan dengan seharian berpuasa.

Orang Islam disunatkan bersahur sebelum berpuasa. Sahur (makan sebelum fajar) membezakan puasa orang Islam dan puasa lain. Semasa berbuka puasa (iftar), disunatkan pula berbuka dengan makanan atau minuman manis serta tidak berlebih-lebihan. Disunatkan juga untuk menjamu orang lain berbuka puasa.


Solat Tarawih

Pada malam harinya, setelah solat Isyak, umat Islam melanjutkan ibadahnya dengan melaksanakan solat Tarawih, solat khusus yang hanya dilakukan pada bulan Ramadan. Solat tarawih, walaupun dapat dilaksanakan bersendirian, umumnya dilakukan secara berjama'ah di masjid-masjid. Di sesetengah tempat, sebelum pelaksanaan solat tarawih, diadakan ceramah singkat untuk menasihati para jama'ah.


Zakat Fitrah

Zakat fitrah adalah zakat yang dikeluarkan khusus pada bulan Ramadan atau paling lambat sebelum selesainya Solat Sunat Hari Raya. Setiap individu muslim yang berkemampuan wajib membayar zakat jenis ini. Nilai zakat fitrah yang harus dikeluarkan per individu adalah satu gantang makanan ruji di daerah bersangkutan. Jumlah ini adalah setara dengan 2.70 kg beras.


Aidil Fitri

Akhir bulan Ramadan dirayakan dengan sukacita oleh seluruh Muslim di dunia. Pada malam harinya (malam 1 Syawal), yang biasa disebut malam kemenangan, mereka akan mengumandangkan takbir bersama-sama. Esoknya tanggal 1 Syawal, yang dirayakan sebagai Hari Raya Aidil Fitri, semua Muslim baik lelaki mahupun perempuan digalakkan ke masjid Solat Sunat Hari Raya. Solat dua raka'at ini akan diikuti khutbah mengenai Aidil Fitri.


* sumber : http://ms.wikipedia.org/wiki/Ramadan

1 comment:

  1. salam ramadhan..
    moga kali ini.. membawa seribu makna yg lbh baik dr ramadhan yg sebelumnya..
    insAllah :D

    ReplyDelete